Alhamdulillah hari ni Allah bagi kesempatan menghadiri kuliah feqh wanita yang dianjurkan oleh Halaqah Kebajikan Islam Brisbane (HAKIM) dan disampaikan sahabat baik saya di sini, Ustazah Asma Harun..
Banyak yang dapat dipelajari tetapi nyata lebih banyak lagi yang perlu dipelajari..
Ustazah Asma ni tauke sup tulang di sini sebab dia biasa jual bihun sup. Sup tulang beliau memang sedap, masyaAllah! Semasa kunjungan Prof Kamil dan keluarga ke rumah beliau bulan Ogos yang lalu pun, menu sup tulang lah yang disediakan. Memang mendapat pujian semua....
Minggu lepas, saya mencuba menyediakan sup tulang sendiri... bukan apa, asyik order dari Asma saja selalu... nampak gayanya nak kena belajar masak sendiri juga...
Macam biasa, saya terus jenguk ke dapur Kak Azlita untuk cari resepi sup ni... mudah-mudahan segala pelaburan Kak Ita dalam bentuk tenaga, masa, dan harta untuk berkongsi resepi di blognya diterima sebagai ilmu bermanfaat yang insyaAllah berterusan ganjaranya dari Allah...
Resepi sup tulang ni dari Chef Amer...tapi dikongsi oleh Kak Ita di sini.
Sedap ke tak sup ni? Menjilat jari you!!!!! Seriously sedap... Aqief yang 2 tahun tu pun asyik minta "sup, sup..."
SUP TULANG JANGAN PANDANG BELAKANG
Bahan-bahan:
1 kg tulang lembu ~ cuci bersih....rebus dahulu tulang hingga empuk. Masa merebus tulang jika ada lemak atau buih kotoran tu buang. Air rebusan jangan buang sebab kita akan gunakan untuk masak kuah sup.
1kg daging (diced beef) - yang ni saya tambah sebab tulang kat sini memang licin langsung tiada daging.... nanti hirup sup saja pulak kalau tak letak daging. Saya rebus daging bersama tulang...
2 sudu besar minyak masak
1 sudu besar minyak sapi
1 batang kulit kayu manis
3 kuntum bunga lawang
5 kuntum bunga cengkih
3 biji pelaga
1 labu bawang besar di hiris
1 peket kecil rempah sup anggaran 2 sudu besar
air secukupnya ~ boleh guna air rebusan daging
1 batang lobak merah ~ di dadu
2 biji kentang ~ di dadu
Daun sup dan daun bawang ~ di hiris
Bawang goreng untuk tabur
Garam secukup rasa
1 sudu teh lada sulah
Bahan Kisar:
5 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inc halia
1/2 batang lobak merah (saya guna 1 batang lobak merah bersaiz sederhana)
1 batang celery
1 batang leek
Semua bahan di atas di kisar. Bawang merah , bawang putih dan halia kisar sekali.
Lobak, celery dan leek kisar sekali
Ini bermakna ada 2 mangkuk bahan kisar berasingan yang perlu kita tumis nanti.
Panaskan minyak sapi dan minyak dalam periuk.
Tumiskan, rempah tumis ( kulit kayu manis, bunga lawang, pelaga dan cengkih) dan bawang yang telah di hiris hingga harum dan garing.
Masukkan bahan kisar ( bawang merah, bawang putih dan halia ) dan tumis lagi hingga garing dan terbit minyak.
Masukkan pula lobak merah, celery dan leek yang telah di kisar halus.
Masak lagi hingga garing.
Kemudian masukkan rempah sup. Rempah sup ni boleh campur air untuk jadikan pes.
Tumis lagi hingga rempah garing. Jika terlalu pekat boleh masukkan sedikit air.
Bila semua dah garing masukkan tulang dan air rebusan tulang. Jika kurang boleh tambah lagi air biasa. Kacau sebentar dan biarkan ia merenih. Jika gunakan tulang yang tak di rebus awal, masak hingga tulang empuk. Mungkin proses memasak menjadi lebih lama kerana nak tunggu tulang empuk.
Semasa proses merebus ni akan keluar minyak, buih-buih dan sedikit kotoran. Sendukkan dan buangkan semua kotoran, buih-buih dan minyak di permukaan sup, ini adalah kotoran dari darah dan minyak dari lemak pada tulang.
Bila daging dah empuk, masukkan lada sulah dan garam secukup rasa.
Akhir sekali masukkan kentang dan lobak yang telah di dadu kecil (saya masukkan lobak merah dan kentang bersama daging dan tulang kerana saya sukakan lobak dan kentang yang betul-betul empuk bila dimakan).
Masukkan juga daun sup dan bawang goreng.
Tutup api dan sedia di hidangkan.
Sup tulang ni kena makan dengan sup kicap, baru ngam!
SAMBAL KICAP ZAHIR TAK TERUCAP
Resepi asal: Chef Amer
Bahan-bahan:
15 biji cili padi
3 ulas bawang putih
1/2 cawan kicap ABC ita guna kicap manis
1 sudu besar sos tomato
1 sudu teh cuka makan
Satukan semua bahan dan kisar
Sedia di makan bersama sup tulang
Selain dari sambal kicap, saya 'up' sikit lagi dengan air asam... haaaa..... yang ni resepi keluarga mertua, turun temurun haha....
AIR ASAM MERTUA
Bahan-bahan:
Tomato
Bawang besar
Cili padi
Air asam jawa
Daun kesum
Sedikit belacan
Tomato, bawang besar, cili padi, dan daun kesum dipotong nipis.
Masukkan semua bahan ke dalam mangkuk. Gaul rata.
Masukkan air perahan asam jawa dan belacan. Picit-picit untuk hancurkan belacan dan sebatikan semua bahan.
Siap untuk dihidangkan.
No comments:
Post a Comment